SMK Kepong Baru juara olahraga Sentul

Monday, 13 February 2012

ARKIB : 15/03/2011 Utusan 
ATLET dan jurulatih SMK Kepong Baru meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan kejohanan olahraga wilayah Sentul, yang berlangsung di Stadium Mini Seri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 14 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru telah muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan padang dan balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) wilayah Sentul yang berlangsung baru-baru ini.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 7 Mac di Stadium Mini Seri Permaisuri, Cheras itu melibatkan beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Sentul.
SMK Kepong Baru, dalam kenyataan akhbarnya berkata, kejohanan kali ini amat bermakna buat sekolah itu kerana telah berjaya mengatasi pencabar terdekat iaitu Sekolah Menengah Perempuan Chong Hwa dan SMK Jinjang apabila mereka memenangi 14 pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.
"SMK Kepong Baru juga muncul juara keseluruhan kategori perempuan manakala Ang Kai Li pula dinobatkan sebagai peserta terbaik perempuan dan Olahragawati 2011.
"Kai Li memperoleh pingat emas untuk acara lompat jauh, lompat kijang, 4x100 meter dan 4x400 meter serta memperoleh pingat perak untuk acara lompat tinggi. Dia juga telah memecahkan rekod kejohanan bagi acara lompat jauh," kata kenyataan itu.
Tambahnya, kejayaan sekolah itu adalah kerana ia mempunyai jurulatih yang komited, diketuai oleh Muhd. Tarmizi Muhd. Nor dengan dibantu oleh Mohamad Hazuan Zainal Abidin (bekas atlet kebangsaan), Nezir Khan Repikh Ali dan Mohd. Zaki Minabi.